PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan ratusan akaun keldai membabitkan nilai RM32 juta dipercayai digunakan sindiket judi dalam talian di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membanteras judi dalam talian yang bertapak di seluruh negara.
“Siasatan kita mendapati ada beratus judi dalam talian antaranya Winbox, 99, 88, namun kita sedang siasat siapa di belakang aktiviti ini.
“Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) setakat ini berjaya membekukan akaun-akaun mule (keldai) yang digunakan sindiket ini dianggarkan bernilai RM32 juta.
“Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti mereka yang terlibat untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, pihak polis kini giat mengesan akaun-akaun keldai bagi membanteras kegiatan haram tersebut.
“Bukan sahaja judi dalam talian, namun sindiket turut menggunakan akaun keldai untuk kegiatan penipuan dalam pelaburan.
“Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah memberikan atau meminjamkan akaun bank kepada mana-mana individu kerana terdapat kemungkinan mereka dijadikan keldai akaun,” katanya. – UTUSAN










