JOHOR BAHRU: Seramai 4,257 atau 36.3 peratus pegawai dan anggota polis di seluruh Johor telah menunaikan tanggungjawab mengundi awal setakat pukul 10.30 pagi ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, setakat ini proses pengundian awal berjalan lancar di kesemua 53 pusat pusat undi awal di seluruh negeri Johor.
“Sehingga pukul 10:30 pagi tadi, saya boleh sahkan seramai 4,257 orang pengundi awal di daripada pengundi-pengundi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun keluar mengundi atau 36.3 peratus daripada pegawai dan anggota.
“Keputusan penuh hanya akan diketahui secara keseluruhannya pada pukul 5 petang nanti,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, pusat mengundi awal yang dibuka bermula pukul 8 pagi tadi akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, mengikut lokasi ditetapkan.
Untuk rekod, undi awal PRN Johor ke-16 ini menyaksikan seramai 24,751 pengundi yang terdiri daripada 12,710 anggota polis dan 12,041 anggota tentera serta pasangan masing-masing. -UTUSAN










