PETALING JAYA: Cadangan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan program bersama universiti lain bagi menyelesaikan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ bercanggah dengan objektif dan kedudukannya kepada bumiputera.
Presiden Kesatuan Kakitangan Umum UiTM, Zulkifli Mohamed berkata, langkah itu seolah-olah membuka ruang kepada kaum bukan bumiputera untuk memasuki UiTM sekali gus melanggar garis sempadan undang-undang di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, meskipun berbentuk kerjasama dengan universiti awam lain, namun ia membuka sedikit ruang untuk bukan bumiputera.
“UiTM diwujudkan untuk membantu aspek pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera. Maka ia menunjukkan matlamat penubuhan UiTM perlu dikekalkan dan tidak wajar diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
“Mengapa pilih UiTM untuk melakukan kerjasama program ini dan bukan dengan universiti lain? Ini menunjukkan ada pihak mahu melanggar segala termaktub dalam Perlembagaan walaupun dikatakan untuk meningkatkan bilangan doktor pakar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, bekas Pengerusi UiTM, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Shah Abu Shah mencadangkan agar UiTM membentuk kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi menyelesaikan isu tujuh pengamal perubatan yang didakwa ‘terkandas’ selepas program parallel pathway kardiotorasik mereka tidak diiktiraf.
Kerjasama tersebut melibatkan proses pembelajaran sedia ada selain menyediakan persiapan menubuhkan program kepakaran pembedahan kardiotorasik IJN di UM dan mendapat kelulusan daripada badan pengiktirafan dalam negara termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ini kerana, program sedia ada, Program Pascasiswazah Pembedahan Kardiotorasik UiTM-IJN mempunyai tenaga pakar membabitkan tiga pengajar berstatus profesor penuh dan dua profesor madya selain 11 profesor adjung dari IJN dan seorang profesor pelawat antarabangsa dari Monash University, Melbourne dalam bidang tersebut.
Kaedah itu dicadang sebagai penyelesaian awal bagi membantu pengamal perubatan itu mendapat pengiktirafan dengan menjalani latihan kepakaran dan memenuhi keperluan pakar perubatan kardiotorasik di negara ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli tidak menafikan negara memerlukan lebih ramai pakar perubatan khususnya bidang kardiotorasik, namun beliau menjelaskan usaha itu tidak hanya tertumpu kepada UiTM semata-mata.
Katanya, terdapat banyak lagi universiti awam yang perlu dilihat untuk menjalinkan kerjasama bagi merintis usaha bagi melahirkan lebih ramai doktor pakar.
“Untuk apa kita fokus UiTM sahaja? Walaupun dinamakan kerjasama namun kita sedikit sebanyak membenarkan kaum bukan bumiputera masuk ke universiti ini.
“Tujuan UiTM diwujudkan untuk meningkatkan penyertaaan masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan tinggi dan profesional serta ia harus dikekalkan seperti mana objektif,” katanya. – UTUSAN










