Profesor fizik gunaan UTHM dinobat Anugerah Tokoh Pekerja

Profesor fizik gunaan UTHM dinobat Anugerah Tokoh Pekerja (OKU) 2024

ZAIDI Embong bersalam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penerima Anugerah Tokoh  Pekerja Negara (OKU) sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Biarpun menghidap penyakit jarang jumpa, distrofi otot atau muscular dystrophy (MD) sejak 20 tahun lalu, ia tidak menghalang tugas Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong sebagai profesor fizik gunaan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Jasa dan pengorbanannya itu meraih penghargaan kerajaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh  Pekerja Negara (OKU) sempena sambutan Hari Pekerja 2024, di sini hari ini.

Zaidi ketika ditemui berkata, ini anugerah terbesar diterimanya  daripada kerajaan selepas hampir 25 tahun berkhidmat sebagai pensyarah di UTHM.

Beliau berkata, pengiktiran ini bukan untuk dirinya sahaja sebaliknya semua golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini  yang turut mempunyai potensi sama.

“Saya pandu sendiri ke UTHM daripada rumah di Ayer Hitam ke Pagoh (UTHM) kira-kira 140 kilometer (km) sehari dan ini pengorbanan saya untuk universiti serta pelajar saya. UTHM juga banyak memberi sokongan kepada saya dengan melantik saya sebagai ahli senat sekali gus bersama-sama membangunkan universiti,” katanya.

Kejayaan itu membolehkan Zaidi membawa pulang wang tunai RM10, 000 termasuk sijil penghargaan.

Sementara itu, penerima Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam diberikan kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, ia anugerah pertama diperoleh NUTP dan amat bermakna memandangkan NUTP bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada 7 Julai ini.

“Kejayaan ini membuktikan kerajaan mengiktiraf jasa kami dalam memperjuang nasib dan kebajikan guru di negara ini,” katanya yang memaklumkan seramai 230,000 guru bernaung di bawah NUTP ketika ini.

Pada majlis sama, sebanyak 11 lagi penerima anugerah diumumkan yang mana Pos Malaysia Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Majikan (syarikat besar/syarikat berkaitan kerajaan). Selain itu, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Penguruaan dan Profesional) diberikan kepada Mohd Yazid Zakaria manakala, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) dianugerahkan kepada Safiq Mohamad.

Sementara itu, Lee Soch Khim pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) manakala, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) menjadi milik Suratmin Alwee. Bagi Anugerah Majikan (Syarikat Besar/Syarikat Bukan Kerajaan) pula, ia dianugerahkan kepada Pos Malaysia Bhd manakala, Anugerah Majikan (PKS) diberikan kepada Shining Continuum Symmetry Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd pula menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Swasta manakala, Anugerah Kesatuan Sekerja Badan Berkanun pula menjadi milik Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara serta Anugerah Media (Individu) diberikan kepada Mohd Alhafiz Ithnin.

Anugerah Hari Pekerja tahun ini menyaksikan 12 kategori termasuk kategori baru iaitu untuk penjawat awam dan pengamal media. Malah, pemberian wang tunai Anugerah Hari Pekerja kategori individu pula dinaikkan dari RM5000 ke RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai dinaikkan daripada RM75,000 tahun lalu kepada RM120,000 tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN