KANGAR: Pengundi India semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, berdasarkan pengalaman pengundi India bersama Anwar dan PH, kebanyakan daripada mereka tidak lagi yakin dengan semua janji-janji dilontarkan oleh pihak terlibat.
Katanya, segala pengharapan yang diberikan sebelum ini juga dianggap sebagai satu penipuan sehinggakan golongan berkenaan hilang kepercayaan untuk memberi undi kepada PH dalam PRK nanti.
“Kini mereka kelihatan lebih yakin dengan Perikatan Nasional (PN) kerana walaupun gabungan ini mempunyai kelemahannya, namun terdapat lebih banyak kebaikannya,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang telah memulakan kempen dengan meminta pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak PH.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika memberi maklum balas berkata, tindakan Ramasamy itu hanyalah bertujuan untuk membalas dendam kepada DAP dan PH.
Dalam pada itu, Hashim berkata, penyokong atau pengundi masyarakat India juga dilihat tidak mustahil akan beralih dan menyatakan sokongan kepada PN walaupun calon yang ditampilkan adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Bagi saya, jika ada orang bukan Islam nak sokong Pas khususnya PN, ia adalah merupakan pertolongan Allah SWT untuk mengubah hati mereka.
“Dan sejarah orang bukan Islam menyokong gerakan Islam ini adalah sejak dulu lagi sampailah sekarang kerana mereka mendapati bahawa terdapat kejujuran, keadilan, kestabilan dan keyakinan yang terdapat pada pimpinan Islam itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata, beliau juga berkeyakinan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) mampu untuk menarik sokongan pengundi-pengundi khususnya daripada masyarakat India pada PRK kali ini.
Katanya, ini adalah berikutan parti Islam itu sentiasa membuka peluang kepada DHPP khususnya kaum bukan Islam malah ada diantaranya turut dilantik memegang beberapa jawatan antaranya seperti senator.
“Mereka sentiasa perhati gerak-geri dan hala tuju perjuangan parti ini yang boleh dipercayai oleh masyarakat bukan Islam termasuk kaum India sendiri,” katanya.-UTUSAN










