HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan dikatakan mengambil pendekatan diamalkan dalam Perlembagaan Madinah yang menggariskan perlindungan terhadap hak kaum selain orang Islam.
Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, model tersebut diambil Kerajaan Perpaduan yang mewujudkan gagasan Malaysia Madani sempena semangat kejayaan kerajaan pimpinan Nabi Muhammad SAW.
“Dalam Perlembagaan Madinah ada 47 fasal, 24 daripadanya adalah Nabi Muhammad menggariskan hak dan tanggungjawab orang Yahudi macam-macam kaum, digariskan juga orang bukan Islam ada hak dan peranannya dan daripada itulah yang membawa perpaduan di Madinah.
“Daripada sebuah negara yang berpecah belah menjadi begitu tersusun, hebat dan hak orang bukan Islam dijamin dalam negara Islam. Itu model yang dibawa dalam gagasan Malaysia Madani, kita bawa prinsip-prinsip Islam tetapi kita menjamin hak semua kaum dalam negara,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
Justeru, beliau mendakwa, terdapat sekumpulan pihak dengan sengaja memainkan sentimen perkauman dan cuba melaga-lagakan antara kaum semata-mata untuk mendapatkan undi.
“Mereka laga-lagakan, dia kata itu calon Cina, macam-macam dibakar, seolah-olah orang Cina bukan kaum dalam negara kita. Kita Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, model dan formula kita adalah kerajaan berbilang kaum.
“Kita di Kuala Kubu Bharu tak ada pilihan lain mesti menang sebab lawan kita bukan parti pembangkang, lawan kita bukan PN semata-mata, tetapi lawan kita ialah satu kumpulan yang menggunakan sentimen perkauman dan membakar perkauman sempit, fitnah, melaga-lagakan antara kaum untuk mendapatkan undi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara memberitahu Kerajaan Perpaduan di peringkat Selangor dan Persekutuan wajib dipertahankan.
“Saya dari Terengganu. Terengganu negeri yang kaya petroleum, tetapi hasil ekonomi di sana hanya 10 peratus daripada hasil di Selangor.
“Negeri tuan-tuan tak ada petroleum, tetapi KDNK yang dijana oleh Selangor adalah satu perempat daripada KDNK di seluruh negara kita. Jadi, tuan-tuan kena berbangga dan terus pertahankan kerajaan yang maju itu,” ujarnya.
Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, PH mempertaruhkan, Pang Sock Tao dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei. – UTUSAN










