HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengikut jejak langkah parti lawan yang mengumumkan manifesto untuk mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang mempunyai baki kempen seminggu lagi.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebaliknya PN akan menggunakan strategi berbeza.
“Kita akan umumkan sebelum pilihan raya, bila tiba masanya. Masing-masing ada strategi dan PN ada strategi. Untuk calonnya bila nak masuk kampung melayu dia pakai tudung selendang, itu strategi (calon PH).
“Kami akan umumkan bila kami rasakan masa itu sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran Program Wanita Gempur ‘Kuala Kubu Bharu Kita Bangkit’, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan calon PH, Pang Sock Tao menggariskan lima teras dalam manifestonya pada Ceramah Mega Perpaduan, sementara calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin mahu memperjuangkan isu rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal sekali lagi menegaskan, calon PN yang merupakan anak tempatan mempunyai kelayakan dan kebolehan untuk memahami permasalahan rakyat di Kuala Kubu Bharu.
“Kami amat yakin dengan penambahan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN yang mewakili Kuala Kubu Bharu, suara rakyat akan dibawa dengan lantang.
“Walaupun kita tidak memimpin kerajaan negeri, kami masih dapat membawa segala permasalahan rakyat Kuala Kubu Bharu,” jelasnya. – UTUSAN










