HULU SELANGOR: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu tidak sewajarnya mencetus polarisasi kaum, sebaliknya kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu membawa agenda perpaduan dan memperjuangkan kestabilan dan pembangunan ekonomi rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau memastikan kempen yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan berpaksikan kepada kerjasama antara semua parti komponen dan membawa tema penyatuan.
“Itu yang kita mahu kurangkan polarisasi kaum, memang kita tahu bahawa hubungan kaum kadangkala dimainakan oleh parti dan orang politik maka kadang-kadang (menyebabkan) ada polarisasi kaum, jadi apa yang penting dalam masyarakat kita?
“Kita mesti satukan, rapatkan hubungan dan membawa kepada satu perpaduan nasional dalam negara kita itu sebabnya program-program kita bukan bertumpukan kepada kaum-kaum tertentu sahaja.
“Umpamanya semalam saya hadiri ceramah di sini, kita tampilkan pemimpin dari pelbagai kaum daripada semua parti, kehadirannya juga daripada pelbagai kaum, jadi kita tak berkempen untuk satu kaum sahaja,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Pengangkutan itu menasihatkan pengundi di Kuala Kubu Bharu supaya tidak terperdaya dengan sentimen perkauman yang didakwa dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang berkempen pada PRK kawasan itu sejak penamaan calon Sabtu lalu.
Menurutnya, PN memainkan sentimen tersebut apabila Kerajaan Perpaduan meletakkan calon daripada kaum Cina, Pang Sock Tao, khususnya DAP.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu enggan berterusan mengulas isu tersebut, sebaliknya menggesa kempen kali ini menonjolkan isu masa depan, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
“Itu antara isu penting dalam pilihan raya di mana-mana dunia pun orang cakap tentang ekonomi, peluang pekerjaan. Itu yang kita laksanakan, tugas kita ialah terus membawa peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Kita hendak menjana ekonomi, itu yang kita laksanakan sebagai kerajaan, itu yang kita harapkan supaya rakyat boleh menilai mana pihak yang lebih ikhlas untuk membangunkan kehidupan dan juga kemajuan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN










