HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menjadi tugas pilihan raya terakhir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebelum beliau bersara pada 9 Mei ini.
Beliau berkata, sepanjang berkhidmat di suruhanjaya tersebut, sebelum menjadi pengerusi pada 2020 pernah melalui beberapa siri pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 yang disifatkan paling diingati.
“Secara peribadi, pilihan raya masa zaman Covid-19, adalah yang paling mencabar dan peristiwa yang seronok adalah apabila kes di Melaka, Pengurus Pilihan Raya kita kena Covid-19, yang mana apabila dia menerima borang pencalonan terpaksa pakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) dengan lengkap dan menggunakan van bergerak SPR.
“Itu saya rasa idea yang bernas dicadangkan oleh pihak urusetia pada waktu itu dalam keadaan krisis (pandemik). Waktu itu borang pencalonan pun kena sanitize,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pengundian awal PRK Kuala Kubu Baharu di Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine, hari ini.
Tembahnya, banyak peristiwa lain yang mencabar terutama ketika pandemik Covid-19, namun bersyukur ia dapat diselesaikan dengan baik dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan lain terlibat.
Terdahulu beliau melawat dua pusat pengundian awal termasuk Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia selain Kem Erskine di Kuala Kubu Baharu.
Dalam pada itu, Abdul Ghani turut menasihatkan ahli-ahli dan penyokong politik supaya berpolitik secara matang yang boleh menambah baik demokrasi negara dari semasa ke semasa.
“Ini merupakan tugasan saya yang terakhir untuk melaksanakan pengundian di Hulu Selangor yang mana pada 9 Mei ini adalah hari terakhir saya selaku Pengerusi SPR, saya mendoakan supaya perjalanan SPR lancar dan sempurna walaupun saya tidak bersama lagi, tetapi hati dan jiwa tetap bersama. Apa yang boleh dibantu saya akan bantu.
“Saya mengharapkan juga dalam tempoh baki empat hari, mereka yang berkempen hendaklah mengikut tatacara, sopan santun sebagai seorang warga negara dan perkara dilarang tidak dibangkit-bangkitkan,” ujarnya. – UTUSAN










