HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) dicabar untuk mengemukakan sebarang petisyen kepada pihak berkuasa sekiranya benar terdapat sebarang kesalahan berkaitan pilihan raya dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PH menjalankan kempen bagi pilihan raya dengan teratur mengikut undang-undang dan tiada unsur rasuah daripada pihak PH.
“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati, dia bolehlah buat petisyen selepas pilihan raya nanti, tetapi dia cakap macam itu seolah-olah mereka sudah mengaku kalah.
“Kita sentiasa mengikut peraturan apabila kita akan berkempen bukan untuk ‘tabur gula-gula’ kepada rakyat,” katanya ditemui ketika melawat Institut Memandu Akademi P. S. Samy, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan beliau bersama partinya berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu.
Dalam pada itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan menjelaskan, ia tidak menjadi satu kesalahan menggunakan kenderaan kementerian untuk pergi ke program rasmi termasuk lawatannya ke Institut Memandu Akademi P. S. Samy.
“Sekiranya kami ada kesalahan, kenapa tidak buat laporan ke pihak berkuasa? Itu saya rasa pelik, sepatutnya buat laporan segera bukan tunggu selepas pilihan raya.
“Kalau betul blok pembangkang ingin cabar kami, kita akan pertahankan bahawa apa sahaja yang kami lakukan ini adalah masih lagi di sisi undang-undang,” tegasnya. – UTUSAN










