PRK Kuala Kubu Baharu: Azalina dakwa Abdul Hadi munafik - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Azalina dakwa Abdul Hadi munafik

Abdul Hadi
AZALINA Othman Said ditemui pemberita ketika melawat penempatan Orang Asli dekat Kampung Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diselar apabila sengaja mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap DAP dengan membangkitkan isu kewajiban memilih pemimpin daripada kalangan kaum dan agama majoriti sejak berseteru dengan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Hadi sepatutnya mempunyai prinsip dan tidak mudah berubah sikap hanya untuk meraih undi pada pilihan raya.

“Dulu boleh, sekarang tak boleh. Dulu sayang, sekarang tak sayang. tak boleh macam itu. Jangan lah tak konsisten. Kenapa dulu tak ada pula isu yang sama ditimbulkan. Sebagai ahli politik, harus bersifat profesional dan jangan bangkitkan isu yang dah lepas. Kenapa dulu tidak ada isu pon ditimbulkan dan kenapa sekarang?

“Bagi saya kita perlu profesional sebagai ahli politik. kita kena sokong atas ideologi. Kalau beri sokongan kerana elemen menakutkan-nakutkan kononnya, (isu agama, kaum dan raja), (itu) bukan pendekatan politik yang matang,” katanya ketika ditemui dalam lawatannya ke Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu untuk keluar mengundi dan memilih pengundi dalam kalangan majoriti selain beragama Islam sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

Malah, beliau dalam ucapan pada Ceramah Perdana PN malam tadi turut melabel DAP sebagai parti yang ekstrim dan mahu merampas kuasa politik seperti PAP yang menguasai Singapura.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengulas mengenai hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk mengemukakan petisyen pilihan raya berhubung tindakan Pakatan Harapan (PH) menggunakan aset-aset kerajaan dalam kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan itu adalah hak mana-mana parti untuk berbuat demikian selepas keputusan pilihan raya.

Terdahulu dalam lawatan tersebut, Azalina memberitahu, beliau berbincang dengan tok batin serta Ketua Kampung Kampung Tun Abdul Razak bagi membantu penduduk mendapatkan kemudahan elektrik.

“Saya sudah berbincang dengan tok batin yang Kerajaan Perpaduan akan menolong dan memberi kemudahan elektrik untuk penduduk kampung Tun Abdul Razak.

“Sekiranya PH menang PRK Kuala Kubu Baharu, penduduk Orang Asli akan menikmati kemudahan yang diberi oleh Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×