PRK Kuala Kubu Baharu: 44.68 peratus keluar mengundi sehingga 2 petang - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: 44.68 peratus keluar mengundi sehingga 2 petang

PRK Kuala Kubu Baharu
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meninjau pusat pengundian PRK Kuala Kubu Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Sebanyak 44.68 peratus daripada 39,362 pengundi dilaporkan keluar mengundi sejak pukul 2 petang tadi di kesemua 18 pusat pengundian menerusi 74 saluran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Kesemua pusat mengundi mula dibuka bagi membolehkan pengundi di Kuala Kubu Baharu menjalankan tanggungjawab mereka sejak pukul 8 pagi tadi dan kesemua peti undi dijadualkan ditutup pada pukul 6 petang.

Kecuali di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.

PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.

Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak semalam menyeru pengundi membuat persediaan awal sebelum keluar mengundi dengan menentukan dokumen yang perlu dibawa iaitu MyKad selain membuat semakan di MySPRSemak terlebih dahulu sebelum menuju pusat mengundi.

Sebanyak 97 peratus atau 769 daripada 863 pengundi awal yang terdiri dalam kalangan pasukan polis dan tentera melaksanakan tanggungjawab mereka dalam PRK Kuala Kubu Baharu, 7 Mei lalu.

Dua pusat pengundian awal iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu menerima kira-kira 746 pengundi awal berdaftar.

SPR dalam kenyataannya ketika itu berkata, daripada jumlah tersebut 94 lagi adalah pengundi pos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN