PETALING JAYA: Kolej penginapan Universiti Malaya (UM), di sini antara empat lokasi terjejas akibat pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, insiden yang berlaku antara 6.20 petang hingga 7 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.
“Lokasi pertama ialah Lot 5746, Jalan Klang Lama melibatkan pokok tumbang yang menghempap empat buah lori tiga tan.
“Kolej kediaman di UM juga dilaporkan ada pokok tumbang yang menghempap tiang elektrik hingga menghalang laluan utama,” katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan, sebuah Apartment Trellises dan Jalan Long Yew Koh di Taman Tun Dr Ismail juga terjejas apabila pokok tumbang dan turut menghalang laluan utama.
Jelasnya, kawasan utama yang terjejas berlakunya pokok tumbang ialah di kawasan Taman Tun Dr Ismail dan UM.
“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” ujarnya.- UTUSAN










