Pokok kantan kukuh tebing sungai atasi hakisan

Pokok kantan kukuh tebing sungai atasi hakisan

SANDREA Ng Shy Ching (tiga dari kanan) dalam program Lestarikan Sungai Kita, Hijaukan Lanskap Kita di Dataran Sungai Dipang, Kampung Sahom, Kampar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Pokok kantan bukan sahaja menghasilkan bunga yang merupakan antara ramuan utama makanan popular laksa dan tomyam, malah tumbuhan herba itu mampu mengukuhkan tebing sungai daripada hakisan arus.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pokok kantan mempunyai akar kuat mencengkam tebing membantu mengelak hakisan sungai yang serius.

“Sebanyak 250 anak pokok bunga kantan melalui kelulusan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pokok teras yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan ditanam di sepanjang Sungai Dipang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, ia juga sumber herba yang boleh digunakan sebagai ubat tradisional masyarakat dan boleh memberikan sumber pendapatan kepada penduduk setempat sebagai hasil sampingan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam majlis perasmian program Lestarikan Sungai Kita, Hijaukan Landskap Kita di Dataran Sungai Dipang, Kampung Sahom di sini, kelmarin.

Kira-kira 100 orang terlibat dalam program penanaman pokok kantan dan membersihkan persekitaran Sungai Dipang anjuran Majlis Daerah Kampar itu.

Harga bunga kantan atau nama saintifiknya, etlingera elatior boleh mencecah RM3 sekuntum didakwa mampu menghilangkan bau badan, merawat sakit telinga dan merawat luka.

Dalam pada itu, Sandrea berkata, pembersihan persekitaran sungai daripada sampah sarap terutama pembuangan plastik sekali guna dan sampah lain adalah perlu kerana kotoran itu telah mencemari keindahan dan kelestarian Sungai Dipang.

“Perbuatan membuang sampah ke dalam sungai sememangnya akan menyebabkan alam sekitar menjadi tercemar dan tidak kondusif kepada kehidupan kita seharian.

“Pelbagai penyakit seperti demam denggi, leptospirosis dan penyakit berjangkit lain boleh berlaku hasil pembuangan sampah yang tidak sistematik kerana ia menjadi tempat pembiakan vektor penyakit,” katanya.
Katanya lagi, perbuatan itu akan memusnahkan alam semula jadi selain merosakkan asas kesejahteraan manusia dan mewariskan bumi yang semakin tenat kepada generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini