PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri kini dalam fasa akhir mengharmonikan beberapa peruntukan membabitkan pindaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sebelum dibentangkan di Parlimen.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu kini sedang dilakukan oleh KDN dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana proses itu juga akan melibatkan tanggungjawab di bawah Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun ini.
“Kami optimis pindaan (perbincangan) ini berakhir dengan segera sebelum dapat dibentangkan di Parlimen kelak. Pindaan ini kelak diharap dapat memberikan impak besar kepada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dalam menunaikan peranan mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, konsep besar dalam meminda akta terbabit adalah dari aspek dekriminalisasi dalam penyalahgunaan dadah, antaranya membabitkan kesalahan memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.
“Kalau mengikut amalan sekarang, tanpa kita buat pindaan itu, ia akan membawa tugas tambahan kepada polis, kena buka IP (kertas siasatan), kemudian berakhir pertuduhan di mahkamah, kemudian ke penjara, penjara sesak, kes mahkamah jadi bertambah, tugas polis buka IP pun banyak.
“Jadi apabila ada elemen dekriminalisasi, maksudnya kita ada satu kaedah yang dibolehkan melalui akta ini, di mana mereka yang terbabit, boleh terus diberi peluang menjalani rawatan terutama membabitkan kes yang mereka datang secara sukarela (ke pusat pemulihan),” katanya.
Terdahulu, Saifuddin melancarkan Kempen Tak Payah Tak Nak anjuran AADK sebagai usaha solidariti mencegah aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah bagi menyemarakkan sambutan Peringatan Hari Antidadah yang disambut pada Februari hingga Jun setiap tahun. – UTUSAN











