PRK Kuala Kubu Baharu: PH, PN miliki peluang sama rata

PH, PN miliki peluang sama rata

Tentera mengundi
PROSES pengundian berlangsung pada hari pengundian awal dekat Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk memperoleh kemenangan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Meskipun masing-masing mendakwa memperoleh sokongan kaum Melayu dan Cina, pengundi atas pagar bakal menjadi penentu utama pilihan raya tersebut.

Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, langkah PN meletakkan calon kaum Melayu belum boleh menjamin kemenangan parti itu dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu apatah lagi menjayakan ‘misi 4-0’ bagi menewaskan penguasaan PH dan DAP di kerusi marginal.

Menurut beliau, jumlah 48 peratus pengundi Melayu adalah separuh daripada keseluruhan 40,226 pemilih berdaftar di DUN tersebut selain PH pula memiliki sokongan sedia ada dalam kalangan kaum tersebut.

Malah kata beliau, ketika PRN Selangor tahun lalu PH masih berjaya meraih hampir satu pertiga sokongan pengundi walaupun berdepan pertembungan tiga penjuru.

“Kini dengan gandingan perpaduan bersama UMNO, ada potensi untuk PH meraih sokongan yang lebih tinggi dalam kalangan pengundi Melayu di situ.

“PN sebenarnya memerlukan penambahan sokongan dalam kalangan bukan Melayu untuk memperbaiki peluang mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PRN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Pang Sock Tao dan calon PN, Khairul Azhari Saut serta dua calon wanita masing-masing mewakili Parti Rakyat Malaysia dan Bebas.

Ketika PRN Selangor Ogos lalu, PN yang mempertaruhkan Pengerusi Parti Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong kalah dalam pertandingan tiga penjuru dengan 10,743 undi berbanding calon PH, Lee Kee Hiong yang menang 14,862 undi.

Sebaliknya Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, PN berpeluang besar dalam pilihan raya tersebut selepas meletakkan calon Melayu yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, hal ini kerana calon Melayu akan melebarkan lagi pengaruh politik identiti di Kuala Kubu Baharu.

“Memandangkan pengaruh politik identiti sangat kuat dalam politik Malaysia hari ini, maka salah satu pembolehubah penting dalam corak pengundian sekarang adalah faktor etnik.

“Ini bermakna pengundi bukan Melayu khususnya etnik Cina sa­ngat kuat menyokong PH, manakala pertambahan sokongan pengundi etnik Melayu terhadap PN sema­kin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN