KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) mahu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada pilihan raya kecil (PRK) susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff dari Pas.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, keyakinan itu berpandukan kepada keputusan PRK sebelum ini yang menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan perpaduan semakin meningkat.
“Insya-Allah, peluang untuk menang pada PRK nanti ada sebab prestasi menunjukkan sokongan rakyat. Malah pada PRK Pulai (Johor) Pelangai (Pahang) dan Kuala Kubu Baharu (Selangor) baru-baru ini turut menunjukkan peningkatan sokongan undi Melayu.
“Malah sokongan ahli UMNO kepada UMNO turut meningkat sekali gus membantu kerajaan perpaduan,” katanya ketika diitemui pemberita selepas program Jualan Agro Madani di Pasar Nelayan Pulau Gajah di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) Pulau Pinang pada pukul 1.38 tengah hari. – UTUSAN









