GUA MUSANG: Seorang buruh ladang sawit dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki selaras senapang buatan sendiri dan tujuh butir peluru di sebuah rumah di Kampung Kuala Betis di sini, hujung bulan lalu.
Mohd. Rosdi Mohd. Paharudin, 36, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang tanpa kebenaran yang sah dan menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Kuala Betis di sini, kira-kira pukul 5 petang pada 27 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Rosdi didakwa memiliki tujuh butir peluru 12 bore tanpa lesen yang sah di rumah sama kira-kira pukul 7 pagi pada tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid
Terdahulu, Muhammad Shahril memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan memiliki senapang secara menyalahi undang-undang dan senjata yang berbahaya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan dua tahun penjara bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Jun lalu.
Berdasarkan fakta kes, Mohd. Rosdi mengaku beg yang mengandungi tujuh butir peluru penabur yang dirampas semasa serbuan di sebuah rumah adalah miliknya.
Mohd. Rosdi mengaku membeli peluru berkenaan di Thailand dan menggunakannya sendiri bagi tujuan memburu.
Tertuduh mengaku memiliki senapang tersebut yang turut digunakan untuk memburu dan mengesahkan senjata api tersebut dihasilkan olehnya sendiri. – UTUSAN










