KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencipta sejarah apabila berjaya memisahkan pasangan bayi perempuan kembar siam jenis Pygopagus dari kawasan pedalaman negeri ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan berkata, pembedahan terbabit sekaligus membuktikan keupayaan kepakaran perubatan di negeri ini dalam mengendalikan kes berisiko tinggi.
Katanya, pembedahan bersejarah itu dilaksanakan pada 2 Julai lalu di Dewan Bedah Utama HWKKS menerusi kolaborasi pasukan pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar dari Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, pasangan bayi pra-matang berusia 32 minggu berkenaan dilahirkan dalam keadaan bercantum di bahagian tulang punggung melibatkan sacrum, tiub saraf, bahagian bawah saluran pencernaan serta alat kelamin.
“Keadaan salah seorang bayi yang mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang menyebabkan pembedahan pemisahan perlu dilakukan seawal usia 28 hari, berbanding kebiasaan antara empat hingga enam bulan.
“Pembedahan itu membabitkan kepakaran daripada pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tulang Belakang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi serta pasukan jururawat dan kakitangan sokongan klinikal,” katanya.
JKNS berkata, kedua-dua bayi kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.
Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan dedikasi dan komitmen warga kerja HWKKS dalam menyediakan rawatan terbaik kepada kanak-kanak yang menghidap anomali kongenital kompleks.
“Perluasan kepakaran khusus seperti ini di Sabah membolehkan kanak-kanak yang memerlukan rawatan kompleks mendapat akses kepada perkhidmatan lebih cepat tanpa perlu dirujuk ke luar negeri.
“Ia sekaligus dapat mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang terpaksa ditanggung keluarga pesakit,” katanya. – UTUSAN










