KANGAR: Perlis berada di landasan tepat ke arah menjadi sebuah bandar pintar menjelang 2030 selaras dengan pembaharuan yang dirancang dan sedang dilaksanakan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, ke arah itu juga, pelbagai projek pendigitalan, termasuk sistem pembayaran parkir yang lebih efisien dan mudah dilaksanakan.
“Kami sedang menuju ke arah bandar pintar 2030 dan inisiatif ini akan diteruskan dengan pelbagai projek pendigitalan tersebut.
“Saya juga yakin, dengan adanya pembaharuan yang dirancang dan kerjasama erat antara pelbagai pihak, kita juga akan memastikan negeri ini lebih ceria dan berketerampilan untuk menghadapi cabaran Tahun Melawat Perlis serta tahun-tahun mendatang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan YDP MPK di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang baharu, Affendi Rajini Kanth mengangkat sumpah di hadapan Mohd. Shukri.
Affendi sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah selain anak jati Perlis itu juga pernah berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dalam masa sama, Mohd Shukri juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Affendi atas pelantikan itu dan berharap MPK agar lebih cemerlang, selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, MPK perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan Perlis terus berkembang dengan keindahan landskap, kebersihan yang terjaga dan kecekapan pengurusan.
“Usaha itu juga selaras dengan persiapan menyambut Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tahun 2025,” katanya.-UTUSAN










