PN Perlis tak terjejas - Abu Bakar - Utusan Malaysia

PN Perlis tak terjejas – Abu Bakar

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis tidak terjejas biar pun Pas memutuskan untuk tidak memberi kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, hubungan baik antara kedua-dua parti itu di negeri ini masih kekal utuh biar pun Pas Pusat membuat keputusan sedemikian.

Beliau berkata, kesepakatan antara dua pihak adalah amat penting bagi memastikan kelancaran dalam pentadbiran kerajaan negeri kekal sehingga habis penggal.

“Berkaitan dengan PRN Johor, kadang-kadang ucapan politik ini kita boleh ambil kira dan boleh sebaliknya. Namun yang terbaru, kita melihat ada cadangan pemimpin Pas agar (calon) yang bertanding atas tiket dan logo PN dibantu serta disokong.

“Saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan secara elok supaya ada kemenangan buat PN pada PRN Johor dan juga Negeri Sembilan kelak,” katanya mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa jentera parti itu tidak akan membantu calon Bersatu di Johor dan akan bergerak secara berasingan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini turut dilaporkan berkata pihaknya menghormati keputusan Pas untuk tidak membantu kempen parti itu pada PRN Johor dan menegaskan Bersatu akan meneruskan gerak kerja mereka berlandaskan kekuatan sendiri.

Abu Bakar berkata, pihaknya juga sedang menyusun pergerakan bagi menghantar lebih 100 anggota jentera Bersatu Perlis ke Johor merangkumi sekitar 40 hingga 50 ahli dari Bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar dalam membantu kempen PRN berkenaan.

“Kita akan bantu sekadar termampu mengambil kira faktor kewangan Bersatu di peringkat pusat yang masih berdepan kekangan dan belum dapat memberikan sokongan dana.

“Bantuan ini dilaksanakan atas inisiatif Bersatu negeri dan bahagian sendiri untuk turun bersama-sama membantu PRN Johor serta Negeri Sembilan. Kita akan menyelaras taklimat bagi mengenal pasti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal menjadi kawasan angkat kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN