Pembiayaan usahawan mikro di Perlis ditingkatkan kepada RM5,000 - Utusan Malaysia

Pembiayaan usahawan mikro di Perlis ditingkatkan kepada RM5,000

ABU Bakar Hamzah (tiga dari kiri) membuat gimik perasmian semasa Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2027 di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri mengambil inisiatif meningkatkan paras siling bagi Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro dari RM3,000 kepada RM5,000 buat setiap pemohon yang layak.

Selain itu, tempoh bayaran balik menerusi inisiatif itu turut dilanjutkan dari tiga tahun kepada empat tahun dalam memberikan fleksibiliti kewangan lebih baik buat para usahawan.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperkenalkan skim pembiayaan itu sebagai satu bentuk sokongan langsung kepada usahawan tempatan agar mereka mempunyai ruang dan peluang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan masing-masing secara lebih terancang, mampan serta berdaya saing.

“Walaupun perniagaan dijalankan dalam skala kecil, sumbangan diberikan kepada ekonomi keluarga, peluang pekerjaan dan aktiviti perdagangan bagi komuniti usahawan kecil negeri amat besar nilainya.

“Inisiatif ini juga dilaksanakan berikutan kerajaan negeri memahami antara cabaran utama dihadapi usahawan mikro ialah akses kepada pembiayaan mudah, cepat dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Kerajaan Negeri Perlis 2027 di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, skim pembiayaan yang ditawarkan itu juga adalah tanpa sebarang faedah dengan bayaran balik bulanan serendah RM104 sahaja.

Beliau berkata, kos faedah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkasa dan menyokong pembangunan usahawan mikro di Perlis.

“Sebagai insentif tambahan, usahawan yang berjaya menguruskan pembiayaan ini dengan baik serta menunjukkan prestasi perniagaan memberangsangkan berpeluang menerima Geran Padanan Perniagaan daripada Bank Muamalat berjumlah sehingga RM5,000 seorang, dalam membantu memperkukuhkan serta memperluaskan operasi perniagaan masing-masing,” katanya.

Abu Bakar berkata, usaha bagi memperkasa usahawan bukan sekadar soal pembiayaan semata-mata namun turut melibatkan pembangunan kapasiti, pemasaran, jaringan perniagaan dan peluang pertumbuhan yang lebih mampan.

Katanya, menerusi inisiatif ini, kerajaan negeri juga berhasrat melihat lebih ramai usahawan Perlis berkembang dan menjadi lebih stabil, berdaya tahan serta mampu menembusi pasaran lebih luas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN