KANGAR: Kerajaan negeri melaksanakan kajian komprehensif berhubung kedudukan dan susun atur penempatan melibatkan lebih 1,500 buah rumah di Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis, di sini, susulan kejadian kebakaran yang kerap berlaku di kawasan itu.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kajian itu adalah berikutan kawasan tersebut mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, selain penggunaan material binaan berisiko serta susun atur kediaman konvensional yang tidak mematuhi garis panduan perancangan khusus.
Beliau berkata, kejadian kebakaran memusnahkan 11 buah rumah dalam tempoh dua bulan termasuk insiden pada 13 Jun lalu menjadi amaran awal buat kerajaan negeri bagi menyediakan pelan tindakan pencegahan yang berkesan.
“Justeru, satu mekanisme perancangan khusus termasuk penyusunan semula susun atur kediaman, penyediaan kemudahan infrastruktur, utiliti yang baik serta sistem pencegah kebakaran aktif di lokasi strategik perlu diwujudkan.
“PlanMalaysia Perlis bersama jabatan teknikal negeri dan Persekutuan diberi tanggungjawab menyediakan pelan induk (master plan) yang merangkumi keseluruhan kawasan terbabit, dan kita jangka perancangan holistik ini dapat dilihat dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bagi Kajian Pemajuan dan Pembangunan Sistem di Bawah Peruntukan Kerajaan Negeri Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Sebagai rekod, tujuh perkampungan yang terbabit dalam kajian semula itu adalah melibatkan Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.
Abu Bakar berkata, Jawatankuasa Bencana Negeri juga sedang menyelaras kaedah pembinaan baharu di kawasan itu tanpa menggunakan struktur konkrit kekal, namun menggunakan material seperti cement board yang lebih murah, selamat dan selesa didiami.
“Pelbagai tuntutan diterima daripada penduduk yang meminta pemberian geran tanah. Buat masa sekarang, belum ada perancangan untuk memberikan geran, sebaliknya kita mempertimbangkan untuk mengeluarkan sijil menduduki kepada mereka.
“Kajian semula ini penting kerana sekiranya kita biarkan mereka duduk dengan struktur lama, ia tidak menyelesaikan masalah berbangkit seperti risiko kebakaran berulang, sistem pendawaian tidak selamat serta isu air pasang besar,” katanya.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.55 juta secara keseluruhan bagi menggerakkan pelaksanaan kajian pemajuan dan pembangunan sistem di negeri ini.
Tambahnya, menerusi pelaksanaan ini, usahasama antara kerajaan negeri bersama universiti tempatan menerusi pemberian geran kajian dijangka bakal mewujudkan penghasilan penyelidikan berkualiti.
“Penyaluran peruntukan ini juga adalah bukti jelas kerajaan negeri sangat komited bagi memastikan pembangunan di Perlis dapat dilaksanakan secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN










