BUKANLAH niatnya mahu bercakap besar, tetapi, pelakon dan pengacara, Sazzy Falak, mengakui bahawa suaminya, Nazril Idrus, tidak akan pernah menduakan dirinya semata-mata mahu mengejar cinta wanita lain.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Sazzy mengakui sedar dunia hiburan kini sedang galak bercakap mengenai isu penyondol, orang ketiga, kecurangan dan seumpamanya.
Namun, untuk melihat suami yang dikahwininya sejak 18 tahun lalu berlaku curang, Sazzy ternyata lebih memahami tingkah laku si suami dari kaca mata seorang isteri.
“Saya rasa, dia tak berani ada wanita penyondol-penyondol ini. Satu sebab, dia sendiri tak boleh ingat kata laluan telefon bimbit. Macam mana itu?
“Percayalah cakap saya, kata laluan pun dia guna yang serupa dengan saya sebab dia selalu sangat lupa. Sebab itulah lebih baik dia tak payah ada wanita lain,” katanya berseloroh.
Menurut Sazzy, dari satu sudut, dia dan Nazril meskipun berbeza bidang, kini kedua-duanya meletakkan kepercayaan penuh terhadap satu sama lain dan itulah yang menjadi kunci kepada keharmonian rumah tangga mereka.
Bahkan, kata Sazzy, soal siapa mahu lihat telefon siapa, tidak pernah menjadi satu isu buat mereka. Sesuatu yang mungkin tidak menjadi amalan pasangan lain atas dasar privasi.
“Kami tak ada apa nak sembunyikan. Selama 18 tahun berkahwin, kami buat semua perkara bersama-sama sebab berkongsi minat yang serupa.
“Kecuali kini dia dah tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni, beralih kepada bidang kewangan. Namun kami tetap saling menyokong. Telefon bimbit pun, kalau dia nak pegang atau saya nak tengok kepunyaannya, tak pernah jadi isu pun.
“Sebab tak ada apa yang nak disorokkan. Macam saya katakan, kata laluan telefon pun sama-sama kami tahu. Kalau bergaduh pun, paling tidak sebab saya merajuk dia kurang beri perhatian.
“Itu pun sebab dia ini seorang yang sangat workaholic. Lain tiada. Bagi saya suami ini selain kadang-kadang blur, dia kelakar,” katanya.
Menganggap Nazril bukan seorang kaki perempuan, kata Sazzy, dia beruntung dikurniakan seorang suami yang sangat setia terhadap keluarga.
Pendek kata, katanya, Nazril merupakan seorang suami yang sangat bertanggungjwab dan baik terhadap isteri dan anak-anak.
Berikutan itu, jelas Sazzy, sukar untuknya membuat sebarang kenyataan negatif mengenai suami kerana hakikatnya memang Nazril adalah suami yang baik.
“Kalau ada masalah sekali pun, kami pilih untuk bercakap dan selesaikan bersama. Tak adanya saya nak muat naik di media sosial atau apa.
“Lagipun kita membesar di era yang mana kita tak luah semua benda di media sosial. Kalau ada masalah, jadikan ia isu privasi.
“Satu hal tentang saya, kalau bergaduh dan saya tengah marah, lebih baik saya diam. Mulut saya ini boleh tahan juga kalau marah. Saya garang berbanding suami. Dia lebih banyak bersabar sebenarnya,” katanya.
Ketegasan Sazzy juga menjawab mengapa anak-anaknya diterapkan dengan nilai murni dan keutamaan kepada pendidikan yang seimbang dengan aktiviti harian.
Bahkan, kata Sazzy, dia juga memberi izin untuk anak-anaknya melakulan aktiviti lasak termasuk jika berminat dengan sukan atau seni mempertahankan diri.
“Dengan anak-anak kena tegas kerana ibu saya juga mengajar benda yang sama. Sebab perkara itu akan memberi mereka lebih disiplin.
“Saya mahu anak-anak belajar jiu-jitsu dan saya juga ingin belajar mengenai seni mempertahankan diri itu. Maklum sahajalah, dunia sekarang makin bahaya. Kita sebagai ibu dan wanita ini kena terapkan dua perkara.
“Ia adalah kesedaran dan kepekaan terhadap persekitaran kita setiap hari,” katanya.
Untuk info, Sazzy mendirkan rumah tangga dengan Nazril pada 2011.
Hasil perkahwinan, Sazzy dan Nazril dikurniakan cahaya mata kembar iaitu Imaan Lily dan Tiara Rose.
Sazzy juga kemudian memilih untuk mengambil seorang anak angkat lelaki iaitu Idris, pada Februari 2020.










