Penyokong TFC adakan solat hajat untuk Akhyar, Faisal - Utusan Malaysia

Penyokong TFC adakan solat hajat untuk Akhyar, Faisal

PENYOKONG TFC mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon kesembuhan buat Akhyar Rashid dan Faisal Abdul Halim sebelum aksi menentang Perak di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Hampir 200 penyokong Terengganu FC (TFC) mengadakan solat hajat dan doa selamat sebelum aksi menentang Perak di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam ini.

Solat hajat yang diadakan selepas solat Maghrib itu bertujuan memohon kesembuhan buat pemain TFC, Akhyar Rashid dan pemain Selangor, Faisal Abdul Halim yang menjadi mangsa samun dan pukul serta simbahan asid, minggu lalu.

Solat tersebut dipimpin Ahmad Muzanil Abdul Rahman dan turut disertai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Salah seorang penyokong TFC, Ahmad Syauqi Kamaruddin, 27, berkata, semua penyokong Sang Penyu sentiasa mendoakan kesembuhan buat Akhyar dan Faisal.

Pemuda dari Dungun itu berkata, dia mewakili semua peminat bola sepak tanah air berharap dua pemain Harimau Malaya dapat kembali mewarnai Liga Super.

“Sebagai penyokong tegar, kejadian menimpa mereka sangat memberi kesan apatah lagi Faisal merupakan pemain kesayangan saya ketika bersama TFC.

“Saya mendoakan semoga Akhyar dan Faisal segera pulih dari kecederaan dan turun semula ke padang dengan lebih bersemangat,” katanya.

Bagi penyokong Perak, Mohd. Fadzli Adnan, 44, dia tetap memohon kesembuhan buat dua pemain itu walaupun Akhyar dan Faisal tidak pernah berbakti di negeri kelahirannya.

“Mereka adalah tonggak skuad kebangsaan dan diperlukan untuk menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Mungkin Faisal memerlukan masa lebih lama untuk sembuh dan kembali ke prestasi terbaik dan saya mendoakan keselamatan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN