‘Saya niat mahu imamkan jemaah kali terakhir’

‘Saya niat mahu imamkan jemaah kali terakhir’

JENAZAH Tengku Badri Tengku Jaafar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: “Saya sudah dua minggu tidak mampu jadi imam, tetapi hari ini (kelmarin) saya gagahkan diri, niat untuk imamkan jemaah buat kali terakhir.”

Itu kata-kata terakhir Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, kepada beberapa ahli jawatankuasa masjid sebelum tiba-tiba rebah di hadapan lebih 300 jemaah ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau, di sini kelmarin.

Pengerusi KAF Felda Lembah Klau, Datuk Abdullah Abu Bakar yang juga Ahli Lembaga Pelawat Hospital Raub berkata, Allahyarham sudah dua minggu tidak sihat dan diketahui menghidap penyakit jantung, namun tetap bersemangat hadir ke masjid untuk mengimamkan solat.

“Lebih menginsafkan, sebelum memulakan solat, arwah sempat membaca teks khutbah lama yang menyentuh soal kematian dan keinsafan, mengingatkan jemaah tentang pen­tingnya memperbanyak amal soleh dan bersiap sedia menghadapi ajal yang tidak diduga.

“Allahyarham meninggal dunia ketika mengingatkan kami tentang kematian. Pemilihannya untuk membaca teks khutbah berkaitan kematian, seolah-olah satu petanda,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Menurut beliau, Allahyarham baru sahaja menerima tauliah rasmi sebagai Imam 2 pada Januari lalu, meskipun telah lama berkhidmat sebagai imam dalam komuniti Felda itu.

“Minggu ini sebenarnya bukan gilirannya menjadi imam, namun arwah menyatakan hasrat untuk memimpin solat Jumaat juga. Imam 1 sediakan teks khutbah berkaitan zakat, tetapi arwah minta gunakan teks lama, tentang kematian,” katanya.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid merakam detik me­nyayat hati itu apabila arwah dilihat bangkit daripada rukuk sebelum rebah ketika hendak sujud pada rakaat kedua.

Adiknya, Tengku Maznan Tengku Jaafar, 43, berkata, beliau yang berada di saf pertama hanya mampu melihat abang­nya rebah di hadapan mata, tanpa sempat berbuat apa-apa.

“Saya sendiri lihat abang jatuh ketika sujud, dan terus tidak sedarkan diri. Sebagai adik, saya amat terkesan tetapi reda kerana dia pergi dalam keadaan yang sangat mulia, di rumah Allah, sedang menunaikan amanah terakhir,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN