KEMAMAN: Seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut, manakala tiga rakannya cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 312.4, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang, Muhamad Fathol Harris Muhamad Asri, 21, yang berasal dari Bagan Serai, Perak, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala.
Tiga rakannya yang parah ialah Noramirah Syahirah Abdullah, Azira Adriana Natasha Amirul Faris dan Nur Farah Shakirah Mohd. Hishamudin.
Dua lagi mangsa, S. Ignatius Suren dan Nur Mazni Andri hanya mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa masing-masing berusia 21 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, difahamkan, ketika kejadian, kesemua mangsa yang merupakan penuntut tahun pertama Fakulti Kaunseling dan Fakuliti Maritim sedang dalam perjalanan pulang ke kampus mereka di Gong Badak, Kuala Nerus selepas selesai melakukan tugasan luar di Kuantan, Pahang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu Ignatius Suren dari arah Kuantan di lorong kiri secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas serta terlanggar papan tanda di bahu jalan sebelah kiri.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan MPV tersebut turut terbalik,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Hanyan berkata, Muhamad Fathol Harris yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Lima lagi rakannya dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa turut dibawa ke unit forensik hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










