PONTIAN: Golongan penternak di sini mendakwa tempahan untuk ibadah korban tahun ini kurang mendapat sambutan walaupun Hari Raya Aidiladha bakal tiba tidak lama lagi.
Seorang penternak, Mohd. Zainuri Suradi, 61, berkata, situasi penurunan permintaan sehingga 60 peratus itu menimbulkan keresahan dalam kalangan mereka.
“Biasanya saya sudah menerima tempahan lembu korban antara 20 hingga 30 ekor, tetapi kini kira-kira 10 ekor sahaja. Namun masih lagi membuka tempahan kepada yang ingin melaksanakan ibadah korban,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Permatang Palas Darat, Benut, dekat sini.
Mohd. Zuraini berkata, jualan lembu korban pada tahun ini merosot berbanding tahun sebelumnya kerana kebiasaan tempahan sudah ditutup sebulan sebelum Aidiladha.
“Kami buat banyak cara untuk promosi haiwan ternakan ini termasuk iklan dalam media sosial dan kain rentang, namun sambutan masih juga kurang,” katanya.
Dia menjual seekor lembu dengan harga antara RM5,000 hingga RM9,000, namun permintaan lebih banyak pada harga RM5,500 hingga RM6,000, terutama bagi yang menganjurkan program ibadah korban berkelompok.
Seorang lagi penternak, Mohd. Aliffi Abu Khairi, 34, turut mengakui tempahan lembu bagi ibadah korban tahun ini perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini yang boleh mencecah 70 ekor.
Menurutnya, penurunan permintaan mungkin disebabkan faktor ekonomi, individu atau penganjur ibadah lembu korban lebih memilih lembu berdasarkan kemampuan kewangan, iaitu di bawah RM6,500 seekor berdasarkan bayaran RM900 bagi setiap bahagian. – UTUSAN










