Peniaga mahu pasar awam dibuka semula

Peniaga mahu pasar awam dibuka semula

RUANG niaga bahan mentah dekat Pasar Awam Kuala Kubu Baharu kosong dan masih belum dibenarkan beroperasi bagi kemudahan penduduk setempat. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Para peniaga gerai sekitar Pasar Awam Kuala Kubu Baharu di sini merayu kemudahan awam tersebut segera dibuka bagi memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan dan makanan.

Pasar tersebut didakwa ditutup lebih dua tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja pengubahsuaian, namun sehingga kini masih belum dibuka walaupun proses tersebut didakwa sudah pun selesai.

Seorang pekerja gerai jual santan, Kamsiah Ahmad, 60, berkata, ketiadaan pasar tersebut bukan sahaja menyukarkan peniaga untuk berniaga, tetapi penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Yang boleh berniaga cuma gerai-gerai di bahagian tepi, tetapi gerai utama yang menjual barangan mentah seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan daging masih belum dibuka. Tak tahulah dengarnya hendak tunggu ada orang rasmikan.

“Macam saya pekerja dan juga penduduk di sini, terpaksa pergi ke gerai sekitar atau ke kedai-kedai luar untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Harganya memanglah lebih mahal berbanding di pasar,” katanya.

Seorang peniaga ikan, Chew, 62, pula memberitahu, dia diarah berpindah dari pasar tersebut sejak 2022 dan mula berniaga dekat gerai luar bangunan utama pada Januari 2023.

“Ingatkan bayar sewa murahlah sebab kena berniaga dekat kaki lima pasar, sekali sewa pun naik. Tak tahulah bila kena pindah masuk nanti, harga akan naik lagi.

“Walaupun diberikan ruang sedikit dekat kaki lima, tetapi pengunjung tak datang, mereka ingat pasar masih tutup. Jadi, pengunjung pergi tempat lain untuk cari ikan, ayam,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam berkenaan mendapati gerai-gerai jualan sayur, ikan, ayam dan daging beroperasi di ruang sekitar pasar tersebut, namun kurang menerima kunjungan walaupun pada pagi hujung minggu.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menjelaskan, beliau akan membawa isu tersebut kepada pihak berkuasa tempatan supaya ia segera diselesaikan.

“Saya sudah dengar rungutan peniaga dan pengunjung. Memang sudah lama tidak buka. Malah ada pengunjung dakwa terpaksa pergi ke Pasar Awam Batang Kali hampir 20 kilometer jaraknya dari Kuala Kubu Bharu.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri digesa segera benarkan peniaga kembali beroperasi di pasar tersebut. Bangunan cantik berwarna-warni, tidak patut kalau dibiarkan tidak beroperasi untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN