Pengguna rokok elektronik meningkat 600 peratus

Pengguna rokok elektronik meningkat 600 peratus

DZULKEFLY Ahmad melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Kajian NHMS & GATS Malaysia 2023 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan rokok elektronik di Malaysia meningkat dengan ketara sehingga 600 peratus dengan 5.8 peratus adalah pengguna semasa pada tahun lalu, berbanding hanya 0.8 peratus pada tahun 2011.

Berdasarkan penemuan Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, pengguna rokok elektronik berumur 15 hingga 24 tahun menunjukkan peningkatan drastik daripada 1.1 peratus pada tahun 2011 kepada 8.6 peratus pada tahun lalu.

Dwi pengguna (tembakau dan rokok elektronik) turut meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023 iaitu peningkatan hampir 400 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai pengguna rokok elektronik adalah daripada kumpulan usia yang lebih muda.

“Tahun lalu, prevalens perokok rokok elektronik membabitkan pengguna berusia 15 hingga 24 tahun adalah 8.6 peratus diikuti 7.1 peratus dalam kalangan pengguna berusia 25 hingga 44 tahun, 2.8 peratus (45 hingga 64 tahun) dan 0.7 peratus (atas 65 tahun).

“Tiga alasan utama penggunaan rokok elektronik kerana ia tersedia dalam perisa yang digemari, persepsi bahawa kurang memudaratkan berbanding menghisap rokok dan mudah dinikmati,” menurut kajian itu.

GATS Malaysia 2023 merupakan tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang mengumpul data penggunaan dan kawalan tembakau.

Malaysia melaksanakan GATS pada 2011 dengan tinjauan kedua dijalankan pada tahun lalu oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Tinjauan berkenaan melibatkan responden terpilih berumur 15 tahun dan ke atas di semua negeri dengan sebanyak 5,780 isi rumah dipilih secara rawak untuk mewakili kawasan bandar dan luar bandar.

Seramai 4,269 responden telah mengambil bahagian dalam tinjauan ini dengan kadar penyertaan keseluruhan sebanyak 81.5 peratus.

Penemuan GATS 2023 juga menunjukkan 4.8 juta atau 19 peratus orang dewasa di negara ini adalah perokok tembakau dengan seramai 3.7 juta (14.6 peratus) orang dewasa merokok setiap hari.

Manakala jumlah purata wang yang dibelanjakan oleh perokok untuk rokok setiap bulan adalah RM178.

“Dalam kalangan orang dewasa yang bekerja di dalam bangunan, 21 peratus atau 1.8 juta terdedah pada asap tembakau di tempat kerja. Secara keseluruhan, 19.4 peratus (4.8 juta) orang dewasa terdedah pada asap tembakau di rumah.

“Di kalangan mereka yang telah melawat tempat awam, 77.6 peratus terdedah kepada asap tembakau di restoran, 29.2 peratus di bangunan kerajaan, 19 peratus dalam pengangkutan awam dan 18.6 peratus di fasiliti-fasiliti kesihatan,” mengikut penemuan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini