Pengarah syarikat didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan

AHMAD Shukri (kanan) yang didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pengarah syarikat pembersihan didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini, atas pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM16,585.76, kira-kira enam tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Shukri Muda, 38, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Shukri yang berniaga atas nama Dynatrade View Resources, sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) telah gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM16,585.76.

Ahmad Shukri didakwa gagal membayar cukai bagi tempoh bercukai 1 September 2018 sehingga 31 Oktober 2018 dalam tempoh yang ditetapkan kepada Ketua Pengarah Kastam.

Ahmad Shukri didakwa mengikut Seksyen 26(7) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam Muhammad Adam Zahid dan Nur Zahidah Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hazwan Hamidun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN