Penduduk tunai solat istisqa' mohon hujan - Utusan Malaysia

Penduduk tunai solat istisqa’ mohon hujan

SEBAHAGIAN daripada penduduk yang menunaikan solat istisqa' untuk memohon hujan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit di Kampung Bukit Cempaka, Kuala Nerus, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lebih 60 penduduk di sekitar Batu Rakit di sini hari ini menunaikan solat istisqa’ secara berjemaah untuk memohon hujan berikutan cuaca panas yang sedang melanda negeri ini ketika ini.

Solat istisqa’ yang diimamkan Muhammad Yaakob itu diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit di Kampung Bukit Cempaka di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd. Shafizi Ismail berkata,
keadaan cuaca panas dan kering itu agak lama berlarutan dan usaha yang diambil ini diharapkan diturunkan hujan selepas ini.

Menurutnya, cuaca panas itu telah menyebabkan berlaku beberapa kebakaran hutan termasuk ladang kelapa sawit di sini.

Selain itu, katanya, fenomena tersebut juga mengakibatkan petani terjejas apabila tanaman mereka akan mengalami kerosakan sekiranya tidak disiram dengan air secukupnya.

“Semoga ikhtiar ini (solat istisqa’), Allah SWT menurunkan rahmat-Nya kepada kita dengan menganugerahkan hujan secara merata lagi menyegarkan bumi ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Shafizi memberitahu, beliau turut menggalakkan solat tersebut itu juga dilaksanakan di kampung-lampung lain di DUN ini ketika musim panas sekarang.

“Malah penduduk di seluruh negeri ini juga disaran menunaikan solat istisqa’ untuk memohon hujan,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Malaysia dijangka terus berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Antara negeri-negeri yang kini di-landa cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh kira-kira tiga bulan ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN