BALING: Kejadian runtuhan baharu melibatkan tanah dan batu dari Gunung Inas, di sini yang dikesan berlaku sejak awal tahun kembali meresahkan penduduk Kampung Iboi apatah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Menurut wakil penduduk, Noor Mohamad Che Hussain, 61, runtuhan itu semakin hampir dengan kawasan rumah penduduk iaitu hanya kira-kira 100 meter sahaja.
“Dengan keadaan hujan yang semakin kerap sekarang kami bimbang runtuhan itu akan semakin merebak.
“Kami bimbang akan berulang banjir puing seperti kejadian 4 Julai 2022 sehingga meragut nyawa penduduk dan memusnahkan banyak rumah. Trauma penduduk berpanjangan, ada runtuhan yang menyebabkan laluan ke kebun terhalang,” katanya.
Rahmah Din, 60, pula berkata, dia amat bimbang dan ketakutan kerana tebing sungai di bahagian belakang rumahnya hanya berjarak kira-kira satu meter sahaja dari dinding dapur.
“Bila-bila masa sahaja tebing sungai ini boleh runtuh dan menghanyutkan sebahagian rumah saya sekiranya air sungai melimpah dan arus derasnya boleh menghakis tebingnya.
“Setiap malam tidur saya tidak lena terutamanya apabila hujan, kadang-kadang hujan disusuli ribut. Saya terpaksa berjaga dan berhati-hati bimbang tragedi dua tahun lalu berulang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, beliau sudah menerima aduan daripada penduduk bulan lalu.
“Keadaan itu berkemungkinan terjadi akibat cuaca panas dan kering sejak hujung tahun lalu yang berlarutan sehingga menyebabkan pokok jalar seperti kekacang yang berfungsi mencengkam tanah dan batu tidak hidup.
“Apabila pokok itu mati, tanah dan batu semakin merekah dan berisiko berlaku runtuhan besar apabila musim hujan, saya sudah ketengahkan perkara ini kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) untuk tindakan lanjut.
Kejadian pada 4 Julai 2022 meragut nyawa tiga sekeluarga termasuk wanita hamil setelah rumah mereka di Kampung Iboi dibadai arus deras Sungai Iboi. – UTUSAN










