TELUK INTAN: Penduduk Kampung Bahagia di sini, gembira apabila penantian untuk melihat pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak yang menghubungkan kampung itu dengan bandar Teluk Intan, bakal menjadi kenyataan selepas menunggu sejak 1989.
Penduduk berkata, pengumuman kerajaan untuk membina jambatan sepanjang 200 meter dengan kerja-kerja pembinaannya bermula pada Julai depan disambut dengan rasa gembira dan bersyukur.
Mereka berkata, cadangan untuk membina jambatan itu sudah lama kedengaran termasuk kerja-kerja bancian dilakukan pada tahun 1989 untuk proses pengambilan tanah dan rumah yang dibina di atas tanah rizab.
Seorang penduduk, Ram Shah Ramli, 58, berkata, rumahnya antara yang terlibat dalam bancian pada tahun 1989 bagi cadangan pembinaan jambatan tersebut.
Katanya, namun selepas itu cadangan pembinaan jambatan tersebut senyap begitu sahaja tanpa ada sebarang perkembangan.
“Selepas 35 tahun akhirnya jambatan yang kami impikan akan dibina. Terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya meluluskan projek pembinaan jambatan ini walaupun terlalu lama kami menanti.
“Jambatan yang akan dibina ini amat penting buat kami untuk memudahkan perhubungan kami ke bandar Teluk Intan. Ia bukan sahaja memendekkan perjalanan tetapi juga dapat mengelak kesesakan lalu lintas yang teruk jika menggunakan Jalan Persekutuan.
“Dianggarkan 13,000 penduduk Kampung Bahagia dan sekitarnya mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, jambatan itu memudahkan perhubungan penduduk untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah berbanding menggunakan laluan sedia ada.
Ahad lalu, semasa majlis Hari Raya Aidilfitri di sini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan jambatan dari Kampung Bahagia ke bandar Teluk Intan sepanjang 200 meter melibatkan kos RM35.7 juta.
Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Julai ini yang akan menjimat masa perjalanan pengguna.
Jambatan itu akan dibina dari Jeti Kampung Bahagia terus ke Kampung Terengganu dan masuk ke bandar Teluk Intan. – UTUSAN










