ARAU: Inovasi dua pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah St. Michael, Penampang, Sabah yang mengubah minyak masak terpakai menjadi dakwat bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar daripada bahan berkenaan, mencuri perhatian dan mendapat pengiktirafan.
Hasil inovasi berkenaan melayakkan Dyna Anne Charles Tami dan Germaine Amisha Alvin merangkul anugerah khas Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2024 (Pi-ENVEX 2024) yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kelmarin.
Idea pelajar tersebut diiktiraf juri pertandingan sekali gus menjadi antara yang terbaik dalam kalangan 206 produk yang dipertanding dalam Pi-ENVEX.
Dyna Anne berkata, idea asal produk dinamakan INKIFLUX itu adalah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar daripada minyak masak terpakai.
“Untuk hasilkan dakwat ini kami mencampurkan bahan asli seperti getah Arab, alkohol, soya Lecithin, air dan pigmentation di dalam satu alat semi manual yang dicipta sendiri untuk hasilkan dua dakwat berwarna hitam dan biru yang selamat digunakan terutama untuk kertas serta kanvas.
“Kami mengambil masa kira-kira dua bulan mencipta produk INKIFLUX bertemakan ‘mengubah pencemaran kepada karya’ dengan bimbingan tiga orang guru,” katanya ketika ditemui di Dewan Ilmu Unimap di sini.
Kejayaan kedua-dua pencipta berbakat besar itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta pingat, plak dan sijil penghargaan.
Pi-ENVEX 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula 26 April sehingga semalam itu disertai oleh 11 buah negara antaranya Malaysia,Vietnam, Romania, German, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan.
Dyna Anne berkata, mereka turut meminta bantuan rakan lain bagi membangunkan prototaip mesin pembancuh semi automatik bagi menghasilkan dakwat tersebut.
“Kami membangunkan ciptaan ini sejak awal November lalu dengan anggaran kos sebanyak RM85,” ujarnya.
Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah St. Michael, Cyprian Rian Jokinol berkata, program seperti Pi-ENVEX 2024 itu mencungkil bakat pelajar dalam mengetengahkan projek inovasi baharu sekali gus dapat menghasilkan penyelidik yang berkualiti pada masa depan. – UTUSAN










