Pelajar, siswa akan terima baucar buku RM100

Pelajar, siswa akan terima baucar buku RM100

Anwar Ibrahim (tengah) menandatangani plak sebagai gimik pelancaran Buku Edisi Malar Segar Sasterawan Negara di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meng­umumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi menggalakkan budaya membaca dalam kala­ngan kanak-kanak dan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baucar tersebut akan diberi bermula pukul 2 petang selepas Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan mekanisme serta panduan penggunaan.

Menurut beliau, semua pelajar darjah empat sehingga pelajar universiti layak mendapat baucar tersebut.

Malah, jelasnya, kerajaan akan turut mengeluarkan senarai buku-buku yang disaran dan diusulkan kepada penerima

“Kita akan anjurkan senarai buku-buku supaya sebahagian daripada wang itu dibeli dan digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan, sebahagian daripada wang tersebut kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih buku sendiri.

“Kenapa saya sebut begitu? Kerana dalam amalan lalu, buku-buku dipilih itu kadang-kadang picisan, yang tidak bernilai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, antara jenis buku yang akan berada di dalam senarai yang diusulkan adalah mengenai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan karya daripada Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said.

Dalam pada itu, beliau berkata, kategori maklumat perlu ditentukan sama ada ia berharga atau tidak.

“Bukan semua maklumat itu ilmu, ada maklumat hanya maklumat dan maklumat masuk kepada kategori ilmu.

“Ilmu dikupas oleh para ulama dan sarjana, ada yang memberi manfaat dan ada tidak memberi manfaat,” jelasnya.

Oleh kerana itu, katanya, semua pihak perlu dilatih supaya mempunyai keupayaan dalam menilai yang terbaik.

Tambahnya, tanggungjawab kerajaan adalah membimbing ibu bapa dan guru-guru dalam melatih serta mendedahkan anak-anaknya kepada budaya membaca.

“Ini supaya dapat menilai antara maklumat, ilmu (dan) mudah-mudahan tercapai hikmah serta kebijaksanaan.

“Anak-anak mesti membaca, kita mesti menghidupkan budaya iqra’ (dan) budaya mencintai ilmu. Saya mahu Malaysia Madani memperkasa ekonomi, budaya dan mengangkat martabat kita sebagai manusia yang punyai akhlak serta menguasai ilmu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN