KUALA LUMPUR: Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA) berjaya meraih kutipan lebih RM300,000 untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.
Pengerusinya, Umie Aida memaklumkan sumbangan itu dikutip bagi meringankan beban penduduk negara itu yang kini berdepan kesukaran.
“Usaha ini adalah untuk membantu saudara kita yang berada di Rafah,” katanya yang ditemui pada program Bersamamu Rafah, di sini, malam semalam.
Kata Umie lagi, inisiatif itu turut disokong oleh jenama kosmetik tempatan Alha Alfa yang merupakan penaja utama program terbabit.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan pengasasnya, Datuk Alha Alfa yang membantu menguar-uarkan program ini.
“Hasil jualan produk Alha Alfa yang dikutip malam ini seratus peratus disalurkan untuk tabung berkenaan.
“Pada awalnya, kami mensasarkan kutipan RM500,000. Bagaimanapun, kami berpuas hati meskipun sekadar mengutip RM300,000,” kongsinya.
Pada masa yang sama, Umie mengajak masyarakat agar menghulurkan sumbangan untuk tabung itu yang kutipannya diteruskan sehingga 8 Jun ini.
“Kami berharap rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan usaha ini. Setiap dana yang disumbangkan diharapkan dapat memberi sinar harapan untuk saudara-saudara kita di Rafah sedang menghadapi pelbagai kesukaran,” jelasnya.
PEEKA merupakan persatuan yang berperanan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Inisiatif berkenaan turut menerima sokongan Cinta Gaza Malaysia dan AICT Global.










