Pegawai kanan kastam dituduh arah bawahan lupus sisik tenggiling - Utusan Malaysia

Pegawai kanan kastam dituduh arah bawahan lupus sisik tenggiling

Sisik tenggiling
AHMAD Hilmi Ghazali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melupuskan sisik tenggiling tanpa kebenaran, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang Penolong Kanan Pengarah Kastam 2 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Jabatan Perhilitan lima tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Ahmad Hilmi Ghazali mengaku tidak bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menyebabkan anggota bawahannya berpangkat Pembantu Penguasa melupuskan sisik tenggiling jenis Genus Manis daripada Stor Penguatkuasaan Pangkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara.

Rampasan tersebut sebaliknya dalam pengetahuannya perlu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan sebagai pihak berkuasa pengurusan yang dilantik di bawah Seksyen 16(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara September hingga Disember 2019.

Justeru, Ahmad Hilmi, 51, dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama enam bulan hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya dan juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid kemudian mengemukakan tawaran jaminan sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 dengan seorang penjamin kepada mahkamah berserta syarat tambahan iaitu penyerahan pasport antarabangsa dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.

“Tawaran jaminan itu dicadangkan selepas melihat kepada nilai sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Selain itu, siasatan SPRM juga menerima maklumat risikan dari United Kingdom (UK) dan Hong Kong.

“Selain itu, tertuduh juga merupakan penjawat awam berpangkat Gred WK48 yang sepatutnya menyedari tanggungjawab dan peranan untuk mematuhi peraturan pelupusan barangan rampasan,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Ahmad Hilmi, Nor Azri  Mohd. Arif memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang berpadanan kerana tertuduh belum dibuktikan bersalahan dan nilainya mestilah tidak bersifat menghukum.

“Jumlah tawaran jaminan dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah diluar kemampuan anak guam saya. Memandangkan dia adalah penjawat awam, terdapat kemungkinan berlaku tahanan kerja dan gaji yang diterimanya akan dipotong separuh.

“Oleh demikian, pendapatannya RM6,000 jika dipotong akan menjadi RM3,000 dan ditolak dengan semua komitmennya seperti pinjaman perumahan, kenderaan yang berjumlah hampir RM3,000 pendapatan bersihnya nanti kurang daripada RM500,” balasnya.

Hakim Awang Kerisnada kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Pulau Pinang (tempat tertuduh bekerja sekarang) dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut memerintah tertuduh tidak boleh mengganggu saksi termasuk anak buahnya sepanjang perbicaraan berlangsung. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN