Pasangan kekasih buang bayi tukar pengakuan tidak bersalah - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih buang bayi tukar pengakuan tidak bersalah

NUR AISYAH Azila Zairul Akmal dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka yang berusia tujuh hari, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman, di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, mengubah pengakuan itu dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Terdahulu, Wan Suhaila pada prosiding Khamis lalu, menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukum terhadap kedua-dua tertuduh selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia tujuh hari didapati telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Kesalahan itu dilakukan kedua-kedua tertuduh sekitar pukul 7 hingga 7.15 pagi di Kedai Ayam Bukit Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai, di sini, pada 18 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Wan Suhaila kemudiannya menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen termasuk laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Farhana Shamsudin.

Pada 18 Mei lalu, seorang bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram ditemukan ditinggalkan di atas lantai sebuah kedai menjual ayam dalam keadaan mengigil kesejukan, tanpa pakaian.

Bayi yang dilahirkan pada 12 Mei tersebut ditemukan seorang pemandu lori yang mahu menghantar bekalan ayam di kedai itu kira-kira pukul 7.30 pagi selepas mendengar tangisan bayi.

Pasangan kekasih yang merupakan penganggur dan pembantu kedai borong yang disyaki membuang bayi tersebut, kemudiannya ditahan secara berasingan kira-kira pukul 11 pagi dan 3 petang di Kampung Jabur Kubur dan Pekan Chukai pada 20 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×