PUTRAJAYA: Beberapa pindaan undang-undang terhadap akta sedia ada perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada jemaah menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan pandangan dari aspek perundangan mengenai perkara sama.
“Parallel Pathway merujuk kepada isu melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi Mara (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa. – UTUSAN










