Ops Samba 2.0: Anggota kastam berdepan 49 tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Ops Samba 2.0: Anggota kastam berdepan 49 tuduhan rasuah

Kastam rasuah
EMPAT anggota kastam yang didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 49 pertuduhan rasuah berjumlah RM39,750 berkaitan pemeriksaan lori barangan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tertuduh, Rahi Shamudin Ishak; 51; Mat Hafizan Abdullah, 42; Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, dan Mohd. Sufian Hashim, 38, membuat pengakuan itu selepas 49 pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Rahi yang bertugas di JKDM KLIA didakwa atas 42 pertuduhan iaitu memperoleh suapan berjumlah RM32,300 daripada pemilik sebuah syarikat berusia 38 tahun menerusi pemindahan wang dalam talian ke dalam akaun bank miliknya.

Suapan antara RM400 hingga RM2,000 itu sebagai dorongan supaya tidak memeriksa lori-lori milik syarikat berkenaan yang membawa keluar barangan dari kargo KLIA.

Sementara Mat Hafizan pula didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan RM1,200 atas kesalahan sama diikuti Mohd. Sufian dengan dua pertuduhan sebanyak RM1,250 manakala Ahmad Shahremy hanya satu pertuduhan bernilai RM5,000.

Perbuatan itu dilakukan masing-masing di cawangan bank di KLIA, Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi antara 1 Disember 2017 hingga 24 April 2023. 

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama. 

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Hezri Shaharil dan Muhamad Aizat Fakri. 

Anita kemudian membenarkan jaminan RM30,000 kepada Rahi diikuti Mat Hafizan (RM10,000) serta masing-masing RM8,000 bagi Mohd. Sufian dan Ahmad Shahremy dengan seorang penjamin. 

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula bagi kesemua kes itu ditetapkan pada 11 Julai depan.

Terdahulu, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi bermula 11 Mac hingga 25 Mac lalu itu menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

SPRM menahan seramai 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 selain 27 individu serta pemilik syarikat selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

Sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berkaitan sindiket itu telah dibekukan dengan melibatkan kira-kira RM18 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×