Nur Hairani Husna masih belum ditemui 

Nur Hairani Husna masih belum ditemukan

NUR HAIRANI HUSNA CHAIRIL YAZID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Setelah seminggu berlalu, Nur Hairani Husna yang meninggalkan rumahnya di Kampung Telok Kerang di sini sejak 24 April lalu masih belum ditemukan walaupun pelbagai cara telah dilakukan. 

Bapanya, Chairil Yazid Mohammad berkata, usaha mencari anaknya dilakukan di beberapa lokasi di Johor Bahru selain menjejaki rakan-rakan dan saudara mara terdekat, namun masih gagal untuk menemukan Nur Hairani Husna.

“Sebagai orang Islam, saya tidak lupa untuk berdoa dan menunaikan solat hajat bagi meminta petunjuk supaya anak saya terbuka hatinya untuk balik ke rumah.

“Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan melalui aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini media melaporkan, gara-gara enggan menyambung pelajaran, seorang gadis berusia 19 tahun keluar dari rumah keluarganya di Kampung Telok Kerang dekat sini pada pukul 5 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Nur Hairani Husna, bekas pelajar Kolej Komuniti Johor Bahru turut membawa sama kereta Proton Saga berwarna ungu milik bapanya.

Bagaimanapun, pada 27 April lalu, kereta dengan nombor pendaftaran SU8020J itu ditemui oleh orang awam di Dewan Orang Ramai Kampung Telok Kerang.

Penemuan kereta tersebut di sekitar pukul 3 hingga 5 pagi  bagaimanapun didapati kosong tanpa Nur Hairani Husna.

Sementara itu, Mohammad Shofee memberitahu, bapa Nur Hairani Husna berkata, dia turut menghubungi bekas teman lelaki anaknya bagi membantu mencarinya, namun tiada maklum balas diterima.

Katanya, lokasi pencarian tertumpu ke Bandar Dato Onn, Taman Adda Height dan Taman Mount Austin iaitu lokasi yang selalu dikunjungi Nur Hairani Husna ketika di Johor Bahru.

“Kami masih lagi berusaha untuk mencari Nur Hairani Husna dan berharap orang ramai turut membantu mengesan di mana anak keempat daripada enam adik beradik itu berada,” ujarnya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai orang hilang ini boleh  menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Shahibul Hamdi atau Timbalan  Ketua Balai Polis  Permas di talian 018-2714199 atau hotline IPD Pontian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN