PUTRAJAYA: National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain dibenar merayu di Mahkamah Persekutuan berkaitan ganti rugi nominal yang perlu dibayar oleh Public Bank Berhad berhubung isu kebocoran-kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka pada 2012.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim turut membenarkan permohonan Public Bank untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap liabiliti yang mendapati bank itu melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun pelanggan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan setiap pemohon mengemukakan dua persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes kedua-dua rayuan pada 14 Mei ini.
Selain NFCorp, empat yang lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Keempat-empatnya diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam K.K. Chan mewakili Public Bank.
Pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan mengarahkan Public Bank membayar RM510,000 kepada NFCorp dan empat yang lain iaitu ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.
Hakim Datuk S. Nantha Balan yang mengetui panel tiga hakim berkata, terdapat salah faham yang serius terhadap bukti yang memerlukan campur tangan di peringkat rayuan.
Ujar beliau, hakim bicara tidak mengendahkan bukti penting, khususnya keterangan Veronica Foo (ketua audit penyiasatan bank itu) di hadapan panel siasatan domestik dan pendirian bank terhadap pertuduhan salah laku serius terhadap (bekas kerani bank) Johari Mohamed.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.
Pada tarikh sama, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.
Dalam penyataan saman tersebut, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.
Dakwa plaintif maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. – UTUSAN










