Mohd. Khairi Ketua Polis Terengganu baharu - Utusan Malaysia

Mohd. Khairi Ketua Polis Terengganu baharu

MOHD. Khairi Khairudin (tengah) memeriksa perbarisan pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQRRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Datuk Mohd. Khairi Khairudin dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu berkuat kuasa, hari ini.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggantikan Datuk Mazli Mazlan.

Mazli pula bertukar ke agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu bagi menyandang jawatan menggantikan Mohd. Khairi.

Menerusi ucapannya, Mazli berkata, banyak pencapaian dikecapi sepanjang mengetuai Kontinjen Terengganu sejak menjadi Ketua Polis negeri pada 3 Mei tahun lalu.

Menurut beliau, antaranya penurunan kadar indeks jenayah, pencapaian tempat pertama Ops Selamat Aidilfitri 2024 serta kelancaran Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mohd. Khairi yang sudah 32 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pula berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman bersama Unit Tindakan Khas (UTK) dan NADMA untuk memacu kejayaan Kontinjen Terengganu.

“Kami akan terus berinteraksi dengan masyarakat bagi menjaga ketenteraman awam,” katanya selepas majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Majlis itu dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Mazli dan Mohd. Khairi.

Majlis kemudian disusuli upacara penyerahan tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Terengganu.

Upacara itu disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan.

Turut diadakan upacara menandatangani dan penyerahan dokumen terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Izzati Datuk Shafii dan Datin Nur Haniza Jaafar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN