DALAM tempoh empat tahun, pelakon asal Selangor ini berjaya mengukuhkan jenamanya sehingga terus menjadi rebutan pelbagai syarikat produksi.
Bermula dengan drama Angkara Cinta pada tahun 2020 bergandingan dengan pelakon, Hun Haqeem, pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam kini mula diberi kepercayaan mengemudi naskhah sebagai pemain utama.
Walaupun pernah menjadi perhatian apabila dipadankan dengan Anna Jobling ketika menjayakan drama Melur Untuk Firdaus, Meerqeen bagaimanapun terlebih dahulu bekerja dengan ramai heroin sepanjang kariernya seperti Siti Khadijah, Wanna Ali, Erysha Emyra dan Mimi Lana.
Setiap pelakon mempunyai budaya kerja masing-masing. Bagi Meerqeen, dia mengakui sangat berhati-hati menyaring tawaran yang diterima seperti membaca skrip selain mengakui agak memilih pelakon digandingkan dengannya.
“Sebagai pelakon saya kena memilih, termasuklah dengan siapa saya akan dipasangkan.
“Saya ada rasa kalau dengar nama orang, sudah boleh tahu sama ada kami boleh bekerjasama dengan baik atau tidak.
“Jika saya rasa individu yang ingin dipasangkan dengan saya itu tidak bersesuaian, saya akan ketengahkan perkara ini. Ini karya saya dan sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Meerqeen berkata, set penggambaran bukan sekadar tempat bekerja malah kesempatannya menjalin persahabatan dengan rakan pelakon yang lain.
“Sudah menjadi kebiasaan saya untuk saling bertanya khabar dan menjalin persahabatan dengan rakan perlakon walaupun selepas penggambaran selesai.
“Jika berkelapangan, saya akan berjumpa Nadhir Nasar atau Hun Haqeem serta sesiapa sahaja yang pernah bekerjasama dengan saya.
“Bagi saya, sekali sudah berlakon bersama, maksudnya kita sudah berkawan,” katanya.
Dalam pada itu, nalis Hero Remaja 2019/2020 itu juga mengakui kini perlahan-lahan meninggalkan karakter lelaki jiwang sekali gus mula mengutamakan pelbagai projek di luar zon selesa.
“Drama cinta terakhir yang saya buat ialah Melur Untuk Firdaus. Selepas itu naskhah lakonan saya semuanya genre berbeza seperti aksi dan penyiasatan.
“Dengan ramai pendatang baru hari ini, saya kena memilih untuk kekal relevan. Jika berlakon genre yang sama sahaja nanti penonton muak pula,” katanya lagi.

HIDUPKAN EDI DALAM FRAMED
Bercakap tentang perkembangan terbaharu, Meerqeen yang kini tampil menerusi naskhah arahan Sein Qudsi bertajuk Framed yang menceritakan tentang sebuah kamera polaroid lama yang boleh memberikan gambaran buruk berkenaan tragedi yang akan berlaku di masa hadapan.
“Dalam naskhah ini saya membawakan watak seorang aktivis alam sekitar. Jujur saya katakan, memang pada awalnya sukar untuk menjiwai watak Edi.
“Saya ambil masa empat bulan untuk menghidupkan karakter ini termasuk dari gayanya berjalan dan bercakap. Saya juga turun ke gimnasium setiap hari untuk dapat zikal yang diinginkan pengarah,” katanya.
Bergandingan dengan Mimi Lana yang membawakan karakter Lia, Framed mula menemui penonton sejak 3 Mei lalu di Astro Shaw.











