GEORGE TOWN: Kes saman fitnah membabitkan tiga pemimpin DAP iaitu, Lim Guan Eng, Tan Sri Lim Kit Siang dan Teresa Kok terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad akan diteruskan menerusi perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikan proses mediasi di Mahkamah Tinggi hari ini.
Saman fitnah itu difailkan oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut sebagai tindakan sivil terhadap Siti Mastura selepas Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat Pas Pusat itu mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Peguam, Datuk Sankara Nair, yang mewakili Guan Eng, Kit Siang dan Teresa berkata, disebabkan tiada sebarang penyelesaian berjaya dicapai melalui proses mediasi, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 2 September depan.
“Perbincangan hari ini bermula dari pukul 11 pagi, tetapi, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat dan kita akan ke mahkamah untuk proses perbicaraan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Pada November tahun lalu, Siti Mastura didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa ketiga-tiga pemimpin DAP itu mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya, Chin Peng selain bekas Perdana Menteri pertama Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew.
Menerusi pernyataan tuntutan saman terhadap Siti Mastura, mereka mendakwa, Siti Mastura ketika sesi ceramah pada 4 November tahun lepas telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Ketiga-tiga ahli politik itu seterusnya menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan parti komunis serta Chin Peng.-UTUSAN











