Md. Rizal rapat dengan semua anak

Md. Rizal rapat dengan semua anak

ANAK sulung arwah, Nur Lelfa Syahirah Md. Rizal menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, semalam. – utusan/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anak kedua Allahyarham Md. Rizal Atan, mangsa yang terkorban akibat dihempap pokok di Kuala Lumpur kelmarin, memaklumkan bahawa ayahnya amat rapat dengan semua anak, terutama sekali adik ketiganya dan bongsunya.

Muhammad Irfan Farish Md. Rizal, 16, berkata, ayahnya akan sentiasa cuba meluangkan masa bersama dia dan adik beradiknya setiap hari meskipun sibuk be­kerja.

“Kalau dia balik lewat sekalipun, dia akan sentiasa cari masa untuk bercakap dengan saya dan adik-beradik yang lain.

“Lepas ini kami adik-beradik akan rindu dengan keletah lawak ayah kerana dia memang seorang yang periang dan suka buat lawak,” katanya ketika ditemui dalam upacara pengebumian jenazah Allahyarham Md. Rizal Atan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, semalam.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 2.30 petang dengan kehadiran ramai ahli keluarga, kawan serta majikan Allahyarham.

Menurut Muhammad Irfan, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun ayahnya pada pagi hari kejadian memintanya menjaga ibunya, Norpahidah Mat Zaman, 43, sekiranya dia sudah tiada lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Irfan berkata, dia dan keluar­ganya dimaklumkan oleh pihak berkuasa berhubung kemalangan yang menimpa ayahnya kira-kira pukul 6 petang, empat jam selepas kejadian itu berlaku.

“Bila dengar berita itu, hati terus luluh namun kami sekeluarga kuatkan semangat me­nerima berita sedih.

“Kami sekeluarga terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas pihak berkuasa memaklumkan jenazah arwah dibawa ke sana bagi menjalani proses bedah siasat,” ujarnya.

Muhammad Irfan berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat pekerjaan untuk menyara keluarganya.

Md. Rizal, 47, terkorban selepas sebatang pokok besar menghempap kereta yang dipandunya di Jalan Sultan Ismail.

Difahamkan semasa kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan menjemput seorang tetamu di sekitar ibu negara menggunakan kereta syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×