MB Perlis tidak layan desakan lepas jawatan

MB Perlis tidak layan desakan lepas jawatan

MOHD. Shukri Ramli bersama barisan Exco kerajaan negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menerima dengan hati terbuka siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencecahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Katanya, siasatan dalam isu berkenaan juga mungkin akan memberi ruang kepada beliau selaku ketua kerajaan negeri untuk lebih berdisiplin bagi memastikan pembersihan di dalam pentadbirannya.

Dalam masa sama, beliau juga akan melihat kelemahan-kelemahan yang ada untuk diperbaiki dengan sebaik-baiknya.

Serentak itu, katanya, beliau juga bercadang mewujudkan unit integriti di dalam pejabat Menteri Besar sendiri dengan meletakkan pegawai SPRM bagi memastikan sebarang urus tadbir berjalan dengan bersih.

“Dengan apa yang berlaku ini, saya akan berbincang dengan Exco-Exco, penasihat undang-undang untuk melihat kesesuaian pejabat saya diletakkan seorang pegawai SPRM dalam unit integriti ini bagi memastikan urus tadbir berlaku dengan bersih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kelmarin media melaporkan, SPRM mengambil keterangan Mohd. Shukri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Mohd. Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri disiasat mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM.

Selepas hampir sembilan jam diambil keterangan sejak pukul 10 pagi, Mohd. Shukri dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Tiga hari lalu, SPRM juga mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, beliau juga akan melihat semula kelemahan-kelemahan dan memperbaikinya khususnya berkaitan prosedur dan teknikal.

Ditanya adakah beliau akan dipanggil semula untuk memberi keterangan, Mohd. Shukri berkata, sekiranya ada keperluan, beliau berkemungkinan dipanggil dan sentiasa bersedia.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desakan melepaskan jawatan daripada sesetengah pihak, Mohd. Shukri berkata, beliau tidak akan melayan desakan itu sebaliknya akan terus fokus menguruskan negeri.

“Semua orang ada hak, diberikan kebebasan untuk bercakap. Saya masih lagi sebagai Menteri Besar Perlis. Setakat ini, tidak ada lagi sebarang desakan berbuat demikian sama ada di peringkat pentadbiran atau parti.

“Malah, kepemimpinan parti di peringkat Pusat juga tidak menyentuh berhubung soal berkenaan (kedudukan Menteri Besar),” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN