Malaysia tidak sokong, biaya aktiviti keganasan

Malaysia tidak sokong, biaya aktiviti keganasan

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika dalam pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Brian Nelson di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Malaysia tidak menyokong mana-mana kumpulan pengganas sebaliknya memberi komitmen berterusan untuk membanteras pembiayaan bagi sebarang aktiviti keganasan.

Pendirian itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson dalam pertemuan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya di sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan menyatakan pendirian di peringkat global dan serantau ASEAN berhubung komitmen membanteras pembiayaan haram dan aktiviti pengubahan wang haram.

“AS bertanyakan komitmen kita bagi membanteras aktiviti pembiayaan keganasan. Kita sebut komitmen serantau, ASEAN atau peringkat KDN.

“Kita mempunyai perancangan strategik yang sangat jelas berkaitan pembiayaan kewangan haram dan pengubahan wang haram yang mematuhi piawaian antarabangsa sama ada di peringkat Basel 2 dan Basel 3.

“Mereka jelas tentang perkara ini dan menghargai usaha yang kita buat,” kata beliau selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Agensi Antidadah Kebangsaan di Kajang di sini semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyatakan pendirian Malaysia yang hanya mengiktiraf sekatan dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Berdasarkan pertemuan dengan Brian Nelson, ada perkongsian maklumat tentang beberapa perkara terkait dengan pertubuhan, individu atau syarikat dikatakan di Malaysia yang memerlukan penjelasan daripada kita.

“Respon di pihak kita turut menegaskan kita tidak mengiktiraf sekatan yang dibuat mana-mana negara sebaliknya mengikut Majlis Keselamatan PBB,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara itu sangat produktif selain berpeluang menyatakan pendirian rasmi kerajaan daripada perspektif keselamatan.

“Kita sentiasa bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mereka (AS). Usaha menguruskan perkara ini harus bersifat menyeluruh, tidak boleh sepihak sahaja.

“Kita adalah sebuah negara menjunjung prinsip undang-undang dan mempunyai peruntukan (undang-undang) jelas untuk menguruskan perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Sementara itu, Nelson berkata, empat syarikat berpangkalan di Malaysia dikenakan sekatan tahun lalu kerana dipercayai membantu pengeluaran dron Iran menerusi pembekalan komponen

Katanya, sekatan itu masih berkuat kuasa dan menunjukkan keberkesanannya dalam ‘memaksa’ syarikat berkenaan mematuhi syarat ditetapkan supaya dapat dikeluarkan daripada senarai sekatan dan mengakses dana.

Sebuah agensi berita antarabangsa semalam melaporkan bahawa pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS akan ke Singapura dan Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.

Berdasarkan laporan tersebut, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.

Justeru, Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian ketika pertemuannya dengan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN