Malaysia penuhi kriteria destinasi pelaburan selamat

Malaysia penuhi kriteria destinasi pelaburan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memenuhi kriteria untuk dijadikan destinasi pelaburan selamat kepada pelabur disebabkan kestabilan, tenaga kerja terlatih, ekonomi dan geopolitik berkecuali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur di seluruh dunia sedang mencari destinasi selamat untuk melabur di tengah-tengah ketegangan khususnya sejak pelaksanaan sekatan perdagangan yang semakin ketat dalam industri mikrocip.

Sedangkan, beliau berkata, industri semikonduktor berkembang pesat di negara ini  sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam sektor pembuatan, perdagangan dan inovasi.

Kata beliau, Malaysia mempunyai asas yang kukuh dan matang dalam sektor pembuatan terutamanya membabitkan industri elektronik dan elektrik bahkan merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

“Saya berani katakan bahawa Malaysia memenuhi kriteria (destinasi pelaburan selamat), disebabkan kestabilan kami, tenaga kerja terlatih dan (polisi) ekonomi serta geopolitik berkecuali. 

“Buktinya,  pada tahun 2023, Pulau Pinang iaitu pusat semikonduktor Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah USD13 bilion (RM61.1 bilion), melebihi jumlah keseluruhan pelaburan bagi tujuh tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kini sedang mensasarkan untuk meningkatkan fokus membabitkan pembuatan wafer (industri semikonduktor), reka bentuk litar (elektronik) bersepadu dan pembungkusan.

“Pencapaian ini tidak mungkin dicapai tanpa Jepun dan rakan lain di rantau ini. Terpahat dalam ingatan kami permulaan sederhana Pulau Pinang pada tahun 1970-an apabila syarikat seperti Clarion dan Hitachi yang merupakan sebahagian daripada ‘Lapan Samurai’ membuat pelaburan industri elektrik dan elektronik di negara.

“FDI Jepun menjadi faktor penting dalam kejayaan industri semikonduktor di Malaysia bahkan pelaburan berskala besar dari Kaga Electronics dan Ferrotec baru-baru ini,” katanya.

Tidak terhenti dalam sektor elektrik dan elektronik, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia terus membangunkan keupayaan dalam sektor lain sejajar dengan ekonomi semasa seperti kimia, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, ekonomi digital, kenderaan elektrik, kemajuan bahan dan industri berasaskan pertanian.

“Sebagai pusat kewangan Islam terkemuka dunia dan pusat perdagangan halal, Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi Islam teratas untuk sembilan tahun berturut-turut dengan memberi perkhidmatan penting sebagai perantara antara Asia Timur, Timur Tengah dan utara benua Afrika,” katanya.

Tambah beliau, keterbukaan Malaysia terhadap perdagangan dan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri utama lain menjana FDI 

berjumlah RM188 bilion pada tahun lalu,

“Jumlah FDI yang diluluskan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN